Kamis, 08 Juli 2010

Fatwa Lengkap Mufti Malaysia tentang ESQ Ary Ginanjar

'Fatwa Berkenaan dengan Kursus ESQ Leadership Training dan Fahaman yang
Seumpama Dengannya'

(a) ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa
oleh ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian dan apa-apa
ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam
kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan
syariah Islam. Ciri-ciri penyelewengan tersebut adalah seperti yang
berikut:

i. mendukung fahaman liberalisme iaitu memahami atau
mentafsir nas-nas agama (Al-Quran dan As-Sunnah) secara bebas, dan
fahaman pluralisme-agama iaitu fahaman yang mengajarkan semua agama
adalah sama dan benar. Kedua-dua fahaman ini adalah sesat dan boleh
membawa kepada kekufuran.

ii. mendakwa bahawa para Nabi mencapai
kebenaran melalui pengalaman dan pencarian. Ini bercanggah dengan akidah
Islam tentang Nabi dan Rasul. Menurut akidah ahli Sunnah Wal Jamaah,
kenabian dan kerasulan adalah pilihan Allah s.w.t semata-mata
(al-Isthifaiyyah), dan bukan sesuatu yang boleh diusahakan
(al-Kasbiyyah).

iii. mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan
Islam dengan ajaran Islam, 'SQ' adalah hasil penemuan seorang Yahudi,
Danah Zohar, manakala 'God Spot' adalah hasil kajian seorang Hindu VS
Ramachandran. Kedua-dua penemuan ini disahkan dengan ayat Al-Quran
(Al-Hajj, ayat 46).

iv. menekanan konsep 'suara hati' atau
'conscience' sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik dan
buruk sesuatu perbuatan. Konsep suara hati adalah ajaran paling suci
dalam agama Kristiani. The Oxford Dictionary of World Religion menyebut
'In the main forms og Christianity, conscience is the absolutely
inviolable and sacrosanct center of the person as human as responsible
for her or his decisions;. Konsep suara hati juga merupakan ajaran Hindu
seperti yang dijelaskan oleh Swami Vivekandanda. Menurut Imam Abu
al-Abbas, pendapat demikian adalah zindik dan kufur.

v.
menjadikan logik sebagai sumber rujukan utama. Ini bertentangan dengan
akidah Islam yang menetapkan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah sebagai
sumber rujukan utama.

vi. mengingkari mukjizat dan menganggapnya
tidak dapat diterima oleh akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang
yang serba logik. Mengingkari mukjizat adalah kufur dengan ijmak ulamak
kerana ia bermakna mengingkari nas-nas Al-Quran dan Hadis Mutawatir yang
mensabitkan mukjizat bagi para Nabi a.s .

vii. menggunakan Kod
19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir Al-Quran. Rasyad Khalifah
mengaku dirinya sebagai rasul dan membawa agama baru yang dinamakan
'submission'. Teori Kod 19 dianggap lebih tinggi daripada Al-Quran
kerana mengikut teori ini, ayat-ayat Al-Quran perlu dibuang atau
ditambah bagi menyesuaikan dengan Kod 19.

viii. menyamakan bacaan
Al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari oleh orang Islam dengan amalan
Bushido oleh orang jepun yang berteraskan ajaran Buddha.

ix.
mendakwa bahawa kekuatan luar biasa seperti mukjizat boleh berlaku
melalui rumus Zero Mind Process (ZMP). Dengan rumusan ZMP ini, ESQ
mengiaskan bahawa mukjizat Nabi Musa a.s diselamatkan daripada Fir'aun
boleh juga berlaku kepada orang lain seperti yang berlaku kepada juru
terbang Kapten Abdul Razak. Kefahaman mukjizat seperti ini, merupakan
ajaran agama Hindu seperti yang diterangkan oleh Swami Vivekananda.

x.
mentafsirkan makna kalimah syahadah dengan 'triple one'. Ini adalah
tafsiran bidaah dan sesat. Dalam konteks akidah, 'triple one' digunakan
oleh Kristian untuk menghuraikan konsep trinity. Buku 'Christianity For
Dummies', ketika menghuraikan konsep ini menyatakan 'The Trinity: How
1+1+1 Equals 1. Christianity says that God is Trinity - one God
expressed in three beings. The term trinity meands: three-oneness.

(b)
mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman
sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan.

Bertarikh 10 Jun
2010 dan ditandatangani oleh Mufti wilayah persekutuan Malaysia, Datuk
Hj. Wan Zahidi bin Wan Teh tanggal 10 Juni 2010.

Sumber : milist kahmi

Tidak ada komentar:

Posting Komentar